Stereogram 3D

Apa khabar para pembaca? Pernah dengar tentang stereogram tak? Rasanya mungkin ramai yang tak jelas akan maknanya. Tapi bila kita lihat apa bendanya pasti ramai antara kita yang pernah melihatnya. Malam semalam, saya dan dua rakan guru sibuk menyiapkan tugasan sekolah masing-masing di bilik sains sekolah apabila tiba-tiba saya teringatkan beberapa gambar di dalam sebuah buku yang saya dapat semasa kanak-kanak dahulu. Rasanya buku itu dibeli oleh ibu saya. Gambar tersebut hanyalah lukisan yang berulang-ulang. Cara melihat gambar tersebut adalah dengan mendekatkan gambar pada mata dan kemudiannya menjauhkan dari mata sedikit demi sedikit. Mata tetap fokus pada gambar hitam putih tersebut. Tak lama kemudian, pada satu jarak tertentu, dan wah! Gambar tersebut bertukar menjadi 3 dimensi! Dan di dalamnya terdapat gambar tersembunyi. Sangat ajaib!

Jadi saya menceritakan hal tersebut kepada rakan di sebelah saya iaitu cikgu Hanafee. Cikgu Hanafee berkata itu ialah gambar ilusi optik. Saya pula menidakkannya. Lalu kami sama-sama mencarinya di dalam internet. Akhirnya saya berjaya menjumpai beberapa gambar yang kini berwarna-warni dan dinamakan sebagai gambar stereogram 3D. Bila saya tunjukkan kepada cikgu Hanafee gambar tersebut dan memintanya untuk cuba mencari gambar tersembunyi yang terdapat di dalamnya, kami sama-sama ketawa dengan kuat dan riang bila dia berjaya melihat gambar tersembunyi di dalam gambar-gambar stereogram 3D tersebut.

Bila cikgu Hafiz Safwan tiba, kami segera berkongsi gambar-gambar tersebut dengannya. Malangnya cikgu Hafiz Safwan tak dapat mencari gambar tersembunyi. Dicubanya berkali-kali namun tidak berjaya. Kami hanya mentertawakannya yang cuba sedaya upaya. Habis berkerut-kerut dahinya dengan bibir yang asyik mengeluarkan kata-kata geram dan tidak percaya dengan apa yang kami mampu lihat. Tapi tak lama kemudian, cikgu Hafiz Safwan pula ketawa keseronokan bila berjaya melihat gambar rahsia di dalam setiap gambar tersebut. Haha!

Contoh gambar / imej stereogram 3D

Di sini penerangannya. Stereogram adalah imej 3D yang tersembunyi dalam gambar lain. Untuk melihat imej 3D, anda hanya perlu merenung gambar sehingga imej mula mengambil bentuk. Namun tidaklah semudah yang kita sangkakan. Ada yang akan berjaya dengan mudah dan ada yang mengambil masa yang lama seperti rakan saya cikgu Hafiz Safwan. Sehinggakan saya dengan berseloroh berkata bahawa beliau perlu berjumpa dengan doktor bagi membetulkan matanya. Perlu ke berjumpa? Hehe.

Di sini saya paparkan beberapa gambar / imej stereogram. Semua imej stereogram yang terkandung dalam galeri ini digunakan dengan persetujuan artis / penulis masing-masing. Imej-imej adalah hak cipta dan tidak boleh digunakan bagi apa-apa maksud kecuali dengan kebenaran bertulis daripada artis / pengarang. Untuk imej lain yang lebih banyak, sila cari di dalam internet!

Tips untuk melihat gambar / imej tersembunyi stereogram 3D:

  1. Pilih kawasan / tempat pada gambar (selalunya kawasan tengah imej adalah terbaik) dan teruskan merenungnya.
  2. Benarkan mata anda untuk berehat, jangan hanya merenung PADA imej, cuba merenung MELALUI ia. Anda akan merasa mata anda akan sedikit hilang fokus. Ini perkara biasa.
  3. Teruskan merenung, tidak berputus asa, sebaik sahaja anda mula melihat imej yang pertama, ia akan menjadi lebih mudah.
  4. Selamat mencuba, berjaya dan bergembira!

Info disediakan oleh: Nor Hafidzul bin Baharom.